Selasa, 17 April 2012

ISU SOSIAL : 54 Peratus Kes Keganasan Rumah Tangga Kerana Selisih Faham


KUALA LUMPUR: Majoriti kes keganasan rumah tangga ketika awal perkahwinan berpunca daripada perselisihan faham antara suami isteri yang mencatatkan sehingga 54 peratus daripada keseluruhan kes bagi tempoh 2007 sehingga Februari lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei berkata, faktor lain ialah kewangan, di bawah pengaruh alkohol, cemburu dan masalah anak-anak.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tempoh itu sebanyak 18,124 kes dilaporkan iaitu 3,756 kes( 2007) ; 3,769 (2008); 3,643( 2009); 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506 kes untuk dua bulan pertama tahun ini.

Bercakap pada sidang media bersama mangsa keganasan rumah tangga di sini Selasa, Heng berkata, walaupun statistik menunjukkan trend mendatar, kementerian itu tetap memandang serius kes berkenaan.

"Justeru, kementerian telah melaksanakan program bersesuaian antaranya program 'Smart Start' yang telah dilaksanakan semenjak 2009 demi memastikansegala mesej yang ingin disampaikan kepada pasangan yang ingin berkahwin atau yang sudah mendirikan rumah tangga tidak kurang dari lima tahun mendapat pengetahuan asas dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan," katanya.

Katanya, statistik PDRM juga menunjukkan kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga adalah golongan wanita yang berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun, iaitu 35 peratus daripada jumlah kes.

"Mereka yang melakukan keganasan rumah tangga ini juga kebanyakannya berusia 26 hingga 35 tahun yang mana ada antara mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih banyak kes keganasan rumah tangga yang tidak dilaporkan atas faktor budaya masyarakat timur yang konservatif serta malu dan tidak mahu hal rumah tangga diketahui umum.

Bagi memastikan pihak polis dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga ini secara efektif, kementerian akan mencadangkan kepada PDRM untuk memasukkan silibus berkenaan cara untuk berhadapan dengan mangsa keganasan rumah tangga ini kepada pelatih polis supaya apabila mereka keluar bertugas kelak, mereka mempunyai kemahiran untuk menyelia kes seperti itu memandangkan kes tersebut merupakan kes yang sensitif dan membabitkan maruah, katanya.

Sementara itu, salah seorang daripada mangsa berusia 20-an yang enggan namanya didedahkan menceritakan pengalamannya dipukul suami sehingga mengalami kecederaan fizikal yang parah.

Katanya, dia menyedari suaminya penagih dadah selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2010.

"Selepas saya melahirkan seorang anak, suami kerap memukul saya terutama sekali apabila dia berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol dan kami juga sering kali berselisih faham sehingga dia pernah mengugut untuk mengancam keluarga saya.

"Pada mulanya, saya berasa takut untuk membuat laporan polis tetapi selepas berfikir saya akhirnya membuat laporan polis," katanya.

Katanya, dia berkongsi pengalaman itu bagi mengelakkan lebih ramai wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga. -BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan